Thursday, June 23, 2011

AKHIRNYA BERLAKULAH KETENTUAN ALLAH 'AZZA WAJALLA

 Pada 23 Januari, Dun balik tawau dari KL, dan mak di bedah buat kali kedua pada 24 Januari.  Kak Yah balik dari Sipitang ke Tawau pada 25 Jun (Selasa)...  Maka ramailah di sana, menjaga mak dan bapa secara berganti-ganti.......

Akhirnya, Tok Umi memulakan perjalanan dari Sungai Petani ke Tawau jam 7.30 pagi pada 27 Januari (khamis).  Berjumpa dengan anak-anak Tok Umi Irfan, Lin (isteri Irfan) dan Najah di LCCT Sepang, sementara menanti flight ke Tawau.  Jauh di sudut hati:  Ya Allah, sembuhkan mak... ampunilah dia... cucuri rahmatMu ke atasnya...  Akhirnya, jam 6.30 malam, Tok Umi sampai di Kg. Jawa... masa melawat sudah habis, Tok Umi tak dapat melawat mak malam itu...  Petang yang sama, bapa keluar wad dan balik ke rumah, alhamdulilLah...   Pada hari yang sama, Dun dan Jum bertolak balik ke KL dan kami tidak sempat berjumpa di Tawau.  Maka tinggal lah kami empat beradik:  Kak Sam, Kak yah,Tok Umi dan Hada...... dan bapa yang baru keluar wad...

Jumaat 28 Januari:  Tok Umi tidak sabar-sabar menunggu dalam kereta untuk ke ICU, GH Tawau.  Sampai di ICU, Tok Umi masuk dulu....  "Mak, Mun datang.... Mun dah sampai....."    Mak mengangguk lemah tanpa kata-kata kerana paip pernafasan dipasang di mulutnya.  Matanya memandang Tok Umi penuh sayu, bahunya bergoncang, mungkin dia menangis gembira... atau sakit... Tidak tertahan air mata Tok Umi... kesian Mak.....  Tok Umi menyembunyikan air mata yang bercucuran dari pandangan Mak dengan berdiri di belakang Mak, sambil mengusap-ngusap bahunya...  Ya Allah, kasihanilah Ibuku...  ringankan beban yang ditanggungnya.....  Itulah kali terakhir Tok Umi melihat Mak dalam keadaan dia sedarkan diri.

Pada hari yang sama, jam 9.30 pagi, doktor memanggil kami untuk menerangkan keadaan mak...  masih ada harapan, Tok Umi berbisik di dalam hati...   Pada hari Sabtu 29 Januari, setelah melawat Mak yang tidak sedarkan diri, Tok Umi dan Hada menghantar Kak Yah ke Airport Tawau untuk balik ke Kota Kinabalu.  Selepas itu, kami terus ke GH Tawau, kerana ada temujanji dengan doktor jam 12.30 tengah hari.  Sampai sahaja di ICU, doktor bergegas memberitahu bahawa jantung Mak sangat lemah dan mereka perlu memberi ubat untuk "support" jantung... mereka perlu kebenaran dengan segera.  Tok Umi tak berdaya menurunkan tandatangan, lalu Hada yang tandatangan memberi keizinan.  Tok Umi tak dapat menahan air mata, lalu masuk ke Surau ICU untuk solat Zohor dan bermunajat kepada Allah.  Hada stand-by di luar ICU, dan menelefon Kak Sam supaya membawa bapa segera ke ICU ... famili stand-by.... itulah perkataan doktor.

Jam 1.15 petang, ubat berjaya diberikan melalui saluran darah di dada kanan Mak yang belum sedarkan diri...  dan 2 orang doktor berbincang dengan kami...  keluarga memberi izin kepada doktor untuk melakukan CPR sekiranya jantung mak menjadi lebih lemah.....  "Ya Allah, kasihanilah Mak,  ampuni dia dan cucurilah rahmatMu ke atasnya...  Ya Allah, bagaimana terok sekalipun keadaan Mak, sesungguhnya Engkau maha berkuasa, pulihkan kesihatan Ibuku Ya Allah...."  doaku tidak putus-putus bersama ayat-ayat Surah Yasin yang kami bacakan di sisi Mak..... 2 orang sahaja daripada kami yang  dibenarkan berada bersama Mak pada satu-satu masa... dan Mak tidak pernah ditinggalkan bersendirian.

Waktu Maghrib menjelang tiba, Saba dan Nawi sampai dari Tuaran setelah sepanjang hari dalam perjalanan.  Alhamdlillah... selamat sampai.  Saba yang sarat mengandung terus menunggu Mak malam itu bersama kami semua...  berempat lah kami adik-beradik...  Bapa direhatkan di rumah bersama menantunya Nawi dan cucunya.

29 Januari (Ahad) jam 1.30 pagi:  Kak Sam dan Hada balik ke rumah, tinggal Tok Umi dan Saba bersama Mak.  Jam 2.00 pagi, doktor memberitahu bahawa Mak perlu diberi CPR...  Tok Umi segera menelefon Kak Sam dan Hada... mereka bergegas ke ICU dan sampai jam 2.20 pagi.  Pada jam 2.25 pagi doktor menerangkan keadaan mak yang sangat kritikal, dan kami berempat diberi ruang di sisi Mak.  Kami membacakan Surah Yasin bersama-sama hingga ke ayat yang terakhir:  FASUBHANALLAZI BIYADIHI MALAKUTU KULLI SYAI-IN WAILAHI TURJA'UUN.  

Selesai sahaja ayat yang terakhir ini, mesin bantuan Mak semuanya berhenti.........tepat jam 3.15 pagi....  Innaa lillahi wa innaa ilaihi raaji'uun...

Mak kembali kepada Allah, taat pada ketentuanNya.....

Ya Allah terimalah ruh ibu kami, ampunilah dia, cucuri rahmat ke atasnya...... amin.

Friday, February 25, 2011

Masih Hiba Mengenangkannya.....

13 Januari - mak menjalani pembedahan.  Zumrah balik ke Tawau pada 17 Januari, hari yang sama Arsiah meninggalkan Tawau balik ke Kota Kinabalu.
     Begitulah keadaannya.  Kak Sam dan Jum berganti-ganti menjaga mak.  Kak Sam ke sekolah siang hari dan menjaga mak di hospital malam hari.  Tentulah dia keletihan, tidak dapat Tok Umi ceritakan, cuma cuba untuk membayangkan.  Bapa pula masuk wad kerana mengidap lemah jantung.  Hada balik Tawau 22 Januari, Dun pula balik juga pada 23 Januari.
    24 Januari - mak menjalani pembedahan kali kedua.  Bapa masih di wad.  Keadaan bapa dirahsiakan daripada mak, anak-anak bimbang mak risau.  Bapa terus menziarahi mak setiap hari....., seolah-olah bapa datang dari rumah.  Bapa menukar pakaian..... baju wad ditanggalkan dalam wad.....  Kesiannya mereka semua.
    Selepas pembedahan kali kedua, mak dimasukkan ke ICU.  Tok Umi bertambah gelisah.  Balik... Tak balik... Balik... Tak Balik... ????  Balik!  Mesti balik!  Whatever happens, mesti balik! 
    25 Januari (Selasa) - Tok Umi beli tiket Air Asia secara on-line:  Penang - KL - Tw pada hari Khamis, 27 Januari.  Alhamdulullah, Boss luluskan cuti, alhamdulillah dapat tiket balik....  Mak, anak mak sorang lagi akan pulang jaga mak.  Tok Umi tak sabar nak balik...  Ya Allah permudahkan urusanku kerana jauhnya perjalanan yang akan ku tempuhi ini...  perasaan bercampur-baur:  gelisah, bimbang, gembira.... Kini tinggal kenangan yang amat menghibakan....

    Akan disambung lagi.....



   

   

   

Tuesday, February 15, 2011

KISAH SETERUSNYA......

Selepas itu, mak dijaga dalam wad, berganti-ganti:  siang dijaga oleh Zumrah (isteri Dun) dan malam dijaga pula oleh Kak Sam.   Begitulah keadaannya.  Anak-anak lain bekerja jauh.  Sekolah pula baru buka.  Tok Umi tak dapat balik Tawau lagi.  Kesian mak, kesian Jum, kesian Kak Sam.  Tok Umi mengikut perkembangan melalui telefon sahaja.  Zumrah mendepani kerenah mak yang sakit, kadang-kadang tak tau apa yang mak cakapkan kerana mak bercakap bahasa ibunda (Bahasa Bugis).  Mak tak mau makan ubat.... mak tak larat.... mak sakit.....  mak nak makan cendol.....

Tiba-tiba hari sabtu 22 Januari, Hada kata nak balik Tawau.  Tok Umi terkejut, keadaan mak macam mana sebenarnya? 

Macam mana nak buat ni?  Nak balik sekarang?  Nak balik bila?  Nak balik Mac masa cuti sekolah kah?.... Ya Allah bantulah hambamu ini membuat keputusan yang terbaik....  Ya Allah, apa lah daya kami...

Bicara ini akan disambung lagi lain kali....   tunggulah, tak tau pula bila....

Thursday, February 10, 2011

YA ALLAH, JADIKAN KUBURNYA TAMAN DARI TAMAN SYURGAMU...

Mak memang pengidap asma sejak tahun 1970.  Fizikal Mak memang tak kuat, tapi semangat dan kemahuannya amat gagah dan perkasa.  Namun perginya Mak bukan kerana asma.  Allah mentakdirkan Mak kembali kepadaNya setelah menderita secara nyatanya selama 20 hari dengan penyakit yang disebut doktor sebagai "PERFORATED GASTRIC ULCER WITH SEPSIS".

10 Disember 2010:  Mak sangat kesakitan di perutnya.  Sentuh pun tak boleh, sakit sangat.  Pada 12 Disember Kak Sam membawa Mak ke GH Tawau dan dia warded.   Arsiah sampai dari KK awal pagi 13 Disembar, dan terus ke GH.  Jam 11 pagi itu, mak menjalani pembedahan selama 4 jam, dan dimasukkan ke ICU untuk pemantauan.  Mak masuk wad biasa pada 14 Disember setelah doktor berpuas hati dengan keadaan mak.

Bicara ini akan disambung lagi.  Tok Umi ada urusan lain sekarang......

Friday, January 7, 2011

HARTA PUSAKA

Harta pusaka adalah nikmat yang Allah berikan kepada kita untuk diuruskan dengan amanah.  InsyaAllah, sekiranya diurus dengan mengikut syari'at Allah, maka akan berkat.

Harta pusaka harus segera diuruskan agar tidak merumitkan lagi keadaan, semoga para waris yang memerlukan tidak terkecewa.

Friday, September 24, 2010

DUGAAN DARIPADA ALLAH

23 September 2010 (14 Syawal 1431 Hijrah)

     Tok Ummi sedang mengajar dalam kelas pada jam 12.50 tengah hari.  Bergegas seorang pelajar perempuan memberitahu bahawa Cikgu MR sedang sakit di Bengkel KHB.  Bergegas Tok Ummi ke tempat kejadian, sudah ramai guru perempuan di sana.    Cikgu MR sedang mengandung sekitar 6 bulan.  Beliau kesakitan, mengalami "contraction", seolah-oleh hendak bersalin.  Ambulan tiba, dan Tok Ummi menemankan Cikgu MR ke hospital, terus ke Dewan Bersalin!  Tidak sampai 1 jam, Cikgu MR selamat bersalin.  Bayi lelaki dikejarkan ke NICU, namun, dia kembali ke RahmatulLah tidak lama kemudian. 
   
     Innalillahi wa inna ilaihi raaji'uun.    Takziah kepada Cikgu MR dan keluarga dan bersabarlah atas dugaan daripada Allah ini.

Wahai anak cucu, demikianlah, Allah menduga hambanya dengan pelbagai cara.  Semoga kita semua redha dengan apa yang Allah takdirkan untuk kita...  amin ya rabbal 'alamiyn.

Friday, September 3, 2010

PERGI SUDAH SEORANG RAKAN

Sabtu 28 Ogos 2010 jam 1.20 tengah hari. (18 Ramadhan 1431H)

Tok Ummi dikejutkan dengan panggilan telefon rakan sekerja.  Dikhabarkan bahawa Cikgu Nadzeri bin Md. Hussain telah meninggal dunia secara mengejut antara jam 11.30 - 12.00 tengah hari.  Sukar dipercayai!!!  Baru pagi itu, kami sepersatuan di sekolah, bersama-sama menjalankan aktiviti hingga jam 10.30 pagi.  Wajib terima hakikat!!! Innalillahi wa inna ilaihi raji'un.

Aduhai! Ajal maut tidak akan menunggu kita walau satu saat pun.   Subahanallah. 

Wahai anak cucu, cubalah bersegera  menyahut seruan AZAN .  Tinggalkan kesibukan dunia, kerana selepas solat, kita masih boleh meneruskan urusan itu.    Namun seruan Allah yang terakhir tidak mampu kita tangguhkan,  dan kita sama sekali tidak boleh kembali untuk membereskan segala urusan kita.  Ambillah pengajaran.......